Apa itu PELANCONGAN?

Oleh :
Mohd Faizal bin Abu Bakar
No. Matrix : 242244
SADE1013 : Asas Keusahawanan
Program Pengajian Luar Kampus
Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan ( PACE )
Universiti Utara Malaysia
Pensyarah : Dr Muhammad Shukri Bakar


          Pelancongan adalah perkataan yang begitu sinonim dalam memberi gambaran berkaitan elemen – elemen yang indah, unik, aneh, luar biasa dan istimewa mengenai sesebuah tempat, budaya atau masyarakat di dunia. Hampir kesemua negara di dunia kini memberikan fokus yang serius mengenai industri pelancongan dan berlumba – lumba untuk membangunkan industri ini kerana ia merupakan industri yang menjadi penyumbang kepada ekonomi sesebuah negara. Dari sudut sejarah, pelancongan telah bermula sejak 5000 tahun dahulu yang berpunca daripada perjalanan yang dilakukan dengan tujuan perdagangan, ketenteraan dan urusan pentadbiran oleh empayar – empayar besar pada ketika itu seperti Sumeria, Yunani, Rom, Parsi di rantau Mediterranean dan Timur Tengah.[1] 

  Kamus Dewan Edisi Kedua mentakrifkan pelancongan sebagai hal – hal mengenai urusan melancong atau perbuatan melancong ataupun perjalanan untuk bersenang – senang atau untuk melihat – lihat.[2] Jabil, Ratna, Mazdi dan Rosmiza menyatakan pelancongan adalah “....melibatkan perjalanan seseorang individu keluar dari tempat kediaman untuk suatu tempoh yang tertentu...“[3] Selain itu, pelancongan biasanya melibatkan seseorang atau sekumpulan individu yang melawat atau berkunjung ke sesuatu tempat khusus untuk meninjau dan menikmati keindahan kawasan berkenaan, melawat rakan taulan dan saudara mara dan untuk bercuti.[4] Definisi pelancongan juga merujuk kepada penglibatan seseorang yang keluar dari tempat kediaman asalnya bagi menjalankan pelbagai urusan seperti menghadiri persidangan, melanjutkan pelajaran dan urusan perniagaan dalam tempoh masa tertentu.[5] Dan Stephen J.Page pula menjelaskan pelancongan sebagai,

“ the journey aboard the stay take place outside the normal place of residence and work. So that tourism activities which the distinct from those of the residence and working populations of the places, through which tourist travel and in which they stay..... “[6]

  Secara umumnya, industri pelancongan sama ada di Malaysia mahupun mana – mana negara di dunia merupakan antara industri terbesar dan mampu menjana keuntungan yang luar biasa kepada negara. Di samping itu, industri pelancongan juga menjadi pemangkin kepada kewujudan dan pertumbuhan pelbagai lagi industri yang berkait secara langsung mahupun tidak langsung seperti industri pembuatan, perkhidmatan, makanan, pengangkutan dan sebagainya. Oleh yang demikian, industri pelancongan boleh dirujuk sebagai gabungan di antara pelbagai industri yang akan mencetus dan mewujudkan pelbagai perbezaan dari segi perkhidmatan dan output. Perbezaan ini merangkumi saiz dan jenis industri, lokasi, fungsi, strategi pemasaran dan organisasi pengendali.



Kembali                                                                                                              Baca seterusnya ----->



[1] Yazid Saleh (2008). Kajian ‘Survival’ Warisan Budaya Dalam Sektor Pelancongan Di Negeri Melaka, Jabatan Geografi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris. hlm.1

[2] Takrifan mengenai pelancongan menerusi carian di laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka http://prpm.dbp.gov.my

[3] Jabil Mapjabil, Ratna Roshida, Mazdi Marzuki & Rosmiza Mohd Zainol (2015). Pelancongan Islam : Suatu Tinjauan Konseptual Dan Relevannya Di Malaysia, Geografia Online Malaysia Journal of Society and Space 11 Issue 1. hlm.175

[4] Logeswaran Tangavello et.al (2015). Isu Keselamatan Dalam Industri Pelancongan : Satu Tinjauan Konsep, Geografia Online Malaysia Journal of Society and Space 11 Issue 1. hlm.33

[5] Logeswaran Tangavello et.al (2015). Isu Keselamatan Dalam Industri Pelancongan : Satu Tinjauan Konsep, Geografia Online Malaysia  Journal of Society and Space 11 Issue 1. hlm.33

[6] Stephen J.Page (2001). Tourism : A Modern Synthesis, London : Thompson Learning. hlm.27

No comments:

Post a Comment